Showing posts with label tazkirah. Show all posts

TAZKIRAH : DOA MEMOHON KELAPANGAN HATI DAN KEBERKATAN REZEKI

TAZKIRAH : DOA MEMOHON KELAPANGAN HATI DAN KEBERKATAN REZEKI 


Terdapat satu hadis yang menyatakan tentang tanda-tanda kebahagiaan bagi seseorang. Ianya diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi SAW. Baginda bersabda :

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya : "Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.”

Riwayat al-Bukhari (457)

Di dalam hadis tersebut Nabi menjelaskan kepada kita bahawa manusia akan terzahir padanya kebahagiaan jika ada salah satu perkara berikut; iaitu rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.

Rumah yang luas adalah antara faktor yang disebutkan oleh Nabi saw sebagai antara tanda kebahagiaan. Ini kerana rumah yang luas menenangkan hati dan menghilangkan kegelisahan. Cuba bayangkan jika rumah itu sempit. Tidakkah akan mendatangkan keresahan, perasaan tidak selesa dan lain-lain.

Kata al-Munawi ianya berbeza mengikut keadaan dan diri seseorang. Ada yang punyai rumah yang besar tapi terasa sempit. Ada yang rumahnya sederhana akan tetapi terasa luas dan besar. Ini berkemungkinan adanya amalan-amalan harian sehingga menjadikan rumah tersebut tenang diduduki dan selesa didiami.

Manakala bagi jiran yang soleh juga merupakan faktor kebahagiaan seseorang.Seseorang merasa aman dan selamat jika jiran sebelahnya seorang yang baik, amanah , patuh pada perintah Allah, yang tidak ada sifat hasad dengki dan lain-lain.

Seterusnya, bagi kenderaan yang elok juga adalah satu keringanan dan kemudahan bagi seseorang. Ia memudahkan seseorang untuk bergerak ke sana dan ke mari. Zaman dahulu kala, haiwan tunggangan yang elok adalah satu kenikmatan. Ianya dianggap sebagai sebuah kenderaan untuk memudahkan pergerakan.

Oleh itu Nabi SAW pernah berdoa :

DOA MEMOHON KELAPANGAN HATI DAN KEBERKATAN REZEKI.png

TAZKIRAH : KEUTAMAAN TAUBAT DAN RAHSIANYA

 TAZKIRAH : KEUTAMAAN TAUBAT DAN RAHSIANYA



Allah S.W.T itu Maha Pengampun meskipun ke atas mereka yang berulang kali melakukan dosa demi dosa, selama mana pelakunya kembali kepada Tuhan, memuhasabah dan menyesali dosa-dosanya, lalu dia memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Kita hendaklah sentiasa melazimi istighfar dan taubat. Ini kerana, Allah S.W.T berfirman:

فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا

Maksudnya"Sesungguhnya Dia (Allah) itu Maha Pengampun terhadap golongan awwabeen." 
Surah Al-Isra’; 25

Terdapat beberapa tafsiran mengenai maksud awwabeenPertama ialah seseorang yang melakukan dosa, kemudian dia bertaubat. Dia melakukan dosa lagi, kemudian dia bertaubat. Kedua, awwabeen juga bermaksud seseorang yang mengingati dosa-dosanya ketika dia sedang bersendirian, lalu dia pun meminta keampunan daripada Allah S.W.T terhadap dosa-dosanya itu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: "Ke semua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat."


Sesungguhnya taubat memiliki banyak keutamaan, rahsia yang menakjubkan, faedah yang banyak dan keberkatan yang pelbagai jenis. 
Di antaranya adalah:

  1. Sebab memperolehi keuntungan dan kejayaan dunia akhirat.
  2. Terhapus kesalahan-kesalahan.
  3. Kesalahan-kesalahan diganti dengan pelbagai kebaikan.
  4. Sebab diperolehinya kenikmatan yang baik, turunnya hujan, bertambahnya kekuatan, harta dan anak.
  5. Memperolehi kecintaan Allah.
  6. Membuat Allah terasa bahagia.
  7. Mendatangkan sifat-sifat yang mengagumkan di mana tidak dihasilkan oleh selain dari taubat.

Sesungguhnya kebahagiaan Allah SWT dengan bertaubat kepada hamba-Nya ketika dia bertaubat kepada-Nya adalah kebahagiaan yang paling besar sebagaimana yang dicontohi oleh Nabi Muhammad SAW ketika menggambarkan kebahagiaan Allah dengan kebahagiaan seseorang yang mendapat kembali haiwan tunggangannya beserta bekalan makanan dan minuman yang dia letak di atas punggung kenderaannya yang hilang ketika berada di padang yang tandus dan hampir-hampir dia berputus asa kerana beranggapan bahawa tidak akan hidup lebih lama lagi. 


Ketahuilah sesungguhnya kebahagiaan Allah ini tidak terjadi oleh sesuatu ketaatan kecuali taubat. Kita juga perlu mengetahui bahawa kebahagiaan ini memberi kesan sangat besar bagi keadaan dan hati orang yang bertaubat. Inilah kelebihan dari kegembiraan , sesungguhnya kegembiraan ini adalah kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. 




Wallahu'alam.

TAZKIRAH : UMUR ITU MODAL

 TAZKIRAH : UMUR ITU MODAL


Umur ialah modal untuk kita menyediakan bekalan menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi. Umur ialah kurniaan daripada Allah yang dengannya kita membuat sebanyak banyak ketaatan demi mencapai kebahagiaan di syurga. 

Justeru, umur mesti digunakan secara optimum. Dalam apa jua keadaan, umur ialah kesempatan yang tidak boleh dipersiakan. Bagi hamba Allah yang taat, umur ialah peluang untuk terus menambah sebanyak-banyaknya kebaikan dan kebaktian. Bagi yang derhaka, umur ialah kesempatan untuk bertaubat dan membetulkan diri.

Baginda mengingatkan akan keutamaan usia ini melalui sabdanya yang bermaksud: 

"Janganlah salah seorang antara kamu mengharapkan kematian, jika dia orang yang berbuat baik maka mungkin sahaja kebaikannya akan bertambah dan jika dia orang yang berbuat buruk, mungkin sahaja dia akan memohon keampunan." 
(Riwayat al-Bukhari)

Panjang dan pendek umur manusia adalah tidak sama. Kita datang ke dunia seperti menaiki sebuah bas dengan destinasi yang berbeza. Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun terlebih dahulu. Ada masanya yang naik dahulu akan turn kemudian dan ada pula yang naik kemudian, tetapi turun terlebih dahulu. Maksudnya, ada manusia yang baru dilahirkan tetapi usianya tidak panjang, sudah sampai ajal dan pendek umurnya. Ada pula yang lahir lebih awal, tetapi masih hidup berbanding yang lahir kemudian. Penetapan ajal ini sangat rahsia dan hak mutlak Allah menentukannya. 

Oleh sebab umur tidak diketahui panjang atau pendeknya, kita harus bersedia bila-bila masa untuk dipanggil bertemu llahi. Setiap individu mempunyai ketetapan masing-masing. Penetapan usia itu telah ditentukan semasa manusia di alam rahim lagi. Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kematian, celaka atau bahagianya kita.

Abdullah bin Mas'ud RA berkata, "Rasulullah SAW seorang yang benar serta dipercayai bersabda, 'Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Sebaik sahaja genap 40 hari kali kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap 40 hari, kali ketiga, bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah SWT mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya ditulis empat perkara iaitu rezekinya, tempo kematiannya, amalannya serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan."
(Riwayat al-Bukhari no. 3154)


Wallahu'alam.


TAZKIRAH : MOHONLAH UNTUK ISTIQAMAH

 TAZKIRAH : MOHONLAH UNTUK ISTIQAMAH


Kenapa Nabi kita –sallallahu ‘alaihi wa sallam– selalu berdoa agar diteguhkan hati dalam ketaatan?

 

Ingatlah, kita sangat memerlukan doa agar dapat istiqamah kerana hati kita boleh sifatnya berbolak-balik. Oleh kerana itu, doa yang sering  Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam panjatkan adalah,

 

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ

“Ya muqollibal quluub tsabbit qolbi ‘alaa diinik (Wahai Dzat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu).”

 

Di dalam satu hadis,

 

Syahr bin Hawsyab berkata bahawa dia bertanya kepada isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, Ummu Salamah,

 

يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا كَانَ عِنْدَكِ

“Wahai Ummul Mukminin, apa doa yang sering dipanjatkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam jika berada di sisimu?”

 

Ummu Salamah menjawab,

كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ « يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ ».

“Yang sering dibaca oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah, ’Ya muqollibal quluub tsabbit qolbii ‘ala diinik (Wahai Zat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu)’.”

 

Ummu Salamah pernah bertanya pada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam,

 

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ

“Wahai Rasulullah kenapa engkau sering berdoa dengan doa, ’Ya muqollibal quluub tsabbit qolbii ‘ala diinik (Wahai Zat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu)’. ”

 

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam seraya menjawab,

 

يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِىٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ

“Wahai Ummu Salamah, yang namanya hati manusia selalu berada di antara jari-jemari Allah. Siapa saja yang Allah kehendaki, maka Allah akan berikan keteguhan dalam iman. Namun siapa saja yang dikehendaki, Allah pun boleh menyesatkannya.”

 

Setelah itu Mu’adz bin Mu’adz (yang meriwayatkan hadits ini) membacakan ayat,

 

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami.” (QS. Ali Imran: 8)

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

 

Jika setiap kita memahami hal ini, maka sungguh kita sangat memerlukan hubungan yang baik atau sering berdoa kepada Allah untuk mendapat taufik dan hidayah agar terus berada di atas ketaatan. Boleh juga kita beramal dengan doa sebagaimana dalam hadis:

 

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ
Allahumma inni a’udzu bika min munkarotil akhlaaqi wal a’maali wal ahwaa

“[Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari akhlaq, amal dan hawa nafsu yang buruk].”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)



Moga kita diberi kekuatan untuk terus istiqamah beramal sepanjang masa.

TAZKIRAH : SIAPA HAMBA ALLAH YANG KUAT?

TAZKIRAH : SIAPA HAMBA ALLAH YANG KUAT?

Kata Baginda Rasulullah SAW: "Bukanlah orang yang kuat itu ialah mereka yang bergusti. Akan tetapi orang yang kuat itu adalah mereka yang mampu mengawal hawa nafsunya ketika marah serta memaafkan orang yang berbuat salah kepadanya." Maka dapat difahamilah bahawa walau macam mana hebat seseorang itu bergusti sehingga tiada yang mampu mengalahkannya, itu bukanlah ukuran sebenar kuatnya orang itu.

Namun lihatlah bagaimana keadaan dirinya tatkala berasa marah, sejauh mana mampu dirinya mengawal nafsu.Tidak cukup dengan itu, sejauh mana mampu dirinya memberi kemaafan kepada orang lain. Ini kerana terkadang seseorang itu mampu menahan marahnya, namun belum tentu memberi kemaafan kerana masih tersimpan rasa marah dalam dirinya.

Oleh sebab itu, mereka yang memberi kemaafan itu, sebagai tanda yang benar-benar seseorang itu mencabut rasa marah itu daripada hatinya dan tiada dia menyimpan sebarang dendam.

Hal sebegini, secara teori ia mudah diungkap. Namun secara praktikalnya yakni andai ia benar-benar dilalui oleh diri kita, barulah diketahui bagaimana keadaan diri kita. Hidup ini umpama madrasah yang perlu untuk diri kita terus berlatih dan belajar daripada realiti kehidupan. Kerana sesungguhnya apa sahaja yang dihadapi dari sebarang kejadian dan keadaan ini, mengundang kepada reaksi kita. Jikalau kita terbimbing dengan ayat-ayat seumpama ini, barulah kita mampu belajar daripada apa sahaja yang dilalui dalam kehidupan ini.

Untuk tidak menyikapi sebarang permasalahan lebih daripada sepatutnya, yakni perkara yang kecil hendak disikapi secara besar, maka untuk mengelak daripada ini, kata pepatah arab, "Ubati luka itu dengan kadarnya." Luka yang kecil, tidak perlu dibalut seperti luka yang besar. Maka begitu jugalah kita apabila menghadapi masalah dalam hidup ini. Tanganilah ia sesuai dengan keadaan. Masalah yang kecil usah diperbesarkan dan masalah yang besar maka perkecilkanlah ia. Jikalau tidak begitu, pasti hidup kita tidak akan tenteram dan penuh dengan masalah.

Oleh yang demikian, tidak ada permulaan yang lebih baik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan melainkan dimulai dengan memaafkan orang lain. Tidak ada orang yang suka memberi maaf kepada orang lain kecuali orang itu yang paling banyak mendapat maaf daripada Allah. Ketahuilah, sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang berbuat baik kepada orang lain. Jikalau tadi kita telah mendengar bagaimana Allah ingin mendidik kita untuk mengawal hawa nafsu, kemudian memberi maaf kepada yang lain, lalu kini Allah ingin menyucikan pula hati kita supaya banyak berbuat baik kepada orang lain. 

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Seandainya kita ini orang yang berubat hati kita dengan al-Quran al-Kareem, maka tidak ada orang lebih bahagia daripada kita dalam hidup ini. Namun jikalau kita menjadikan al-Quran itu sekadar bacaan di bibir sahaja, bukan untuk dihayati dan diambil pedoman dari isi al-Quran itu, maka ketahuilah, kita merugikan diri sendiri yakni dengan menjauhkan diri kita daripada kebahagiaan yang sebenar.


Wallahu'alam.


TAZKIRAH : MENCARI CINTA ALLAH SWT

 

TAZKIRAH : MENCARI CINTA ALLAH SWT

Menjadi hamba yang dikasihi dan disayangi oleh Allah SWT merupakan satu impian dan harapan yang perlu ada pada setiap muslim. Keperibadian mereka yang sentiasa mendambakan cinta dan kasih Allah ini sentiasa akan terpandu pada jalan yang Allah reda seiring dengan amalan hatinya yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Inilah yang dikatakan seorang muslim yang bukan sahaja beruntung di dunia namun tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung di akhirat kelak. Untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah SWT seseorang itu mestilah mempunyai ciri 3B dalam dirinya iaitu “BERIMAN, BERTAKWA dan BERAMAL SOLEH”. Untuk memenuhi semua ciri 3B ini terdapat beberapa garis panduan yang dapat dikongsi antaranya ialah:

1.       Kenali Allah dengan sifat penyayang. Nabi SAW bersabda:

 

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، أَنَّهُ قَالَ قَدِمَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِسَبْىٍ فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ السَّبْىِ تَبْتَغِي إِذَا وَجَدَتْ صَبِيًّا فِي السَّبْىِ أَخَذَتْهُ فَأَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا وَأَرْضَعَتْهُ فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَتَرَوْنَ هَذِهِ الْمَرْأَةَ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ ‏"‏ ‏.‏ قُلْنَا لاَ وَاللَّهِ وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لاَ تَطْرَحَهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا ‏"‏ ‏.‏

Maksudnya :  'Umar b. Khattab melaporkan bahawa ada beberapa orang tahanan yang dibawa menemui Rasulullah (), di antaranya ada seorang wanita, yang sedang mencari (untuk seseorang) dan ketika dia menjumpai seorang anak di antara tahanan, dia memegangnya, menekannya ke dadanya dan dengan syarat menghisap. Maka Rasulullah () bersabda: Adakah anda fikir wanita ini mampu membuang anaknya ke dalam api? Kami berkata: Demi Allah, sepanjang kekuasaannya, dia tidak akan membuang anak itu ke dalam api. Oleh itu Rasulullah () bersabda: Allah lebih baik kepada hamba-hambaNya daripada wanita ini terhadap anaknya.

 (Hadis Riwayat Bukhari : 5999)

 

Hadis ini menceritakan bagaimana seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya sehingga tidak sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api. Hal ini menunjukkan bahawa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya dan tidak sanggup untuk mendatangkan kemudaratan buat anaknya. Begitulah juga halnya dengan kasih sayang dan rahmat Allah SWT kepada hambanya. Disebutkan juga dalam AlQuran, Firman Allah SWT:

 

وَمَا ظَلَمَهُمُ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنۡ أَنفُسَهُمۡ یَظۡلِمُونَ ﴿ ١١٧ ﴾...

 

Maksudnya: “... dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

 

(Surah Ali Imran: 117)

 

Ayat ini menerangkan bahawasanya Allah SWT tidak pernah menzalimi hambanya tetapi hambanya jualah yang menzalimi diri sendiri. Menzalimi diri sendiri dengan melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT dan tidak melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya.


2.       Jangan terlalu yakin bahawa kita dah disayangi oleh Allah SWT.


Perkara ini perlu diberi perhatian kerana dengan keyakinan ini membuatkan seseorang tersebut lalai dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Syeikh Jarjawi menyatakan bahawa, amalan berpuasa (dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan daripada Allah SWT) ini dapat menatijahkan keperibadian seorang yang jujur dan amanah. Hal ini kerana amalan berpuasa ini merupakan satu amalan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan memerlukan kepada sifat amanah yang kuat dalam diri. Ketika mana seseorang tersebut memilih untuk terus menjaga ibadah puasanya walaupun dalam keadaan bersendirian di tempat sunyi menunjukkan bahawasanya ibadah puasa itu sendiri melatih jiwanya untuk jujur dan amanah dengan diri sendiri serta sentiasa merasakan Allah SWT memerhatikannya. Dalam masa yang sama, melahirkan rasa khauf dan raja’ iaitu rasa takut untuk melakukan maksiat dan mengharapkan balasan daripada Allah SWT.


3.       Sabar ketika ditimpa ujian.


Ujian-ujian yang diberikan ketika bulan puasa akan menjadi sia-sia dan menjadi sekadar lapar dan dahaga semata jika tidak disertakan dengan sabar. Nabi SAW bersabda:

 

حَدَّثَنَا  هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الْأَزْدِيُّ ،  وَشَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ ، جَمِيعًا عَنْ  سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ  - وَاللَّفْظُ لِشَيْبَانَ - حَدَّثَنَا  سُلَيْمَانُ ، حَدَّثَنَا  ثَابِتٌ ، عَنْ  عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى ، عَنْ  صُهَيْبٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ ؛ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ ".


Maksudnya: Daripada Shuaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadis Riwayat Muslim: 2999)


Hadis ini menerangkan berkenaan keadaan seorang mukmin yang apabila dikurniakan nikmat dia bersyukur dan apabila diberikan ujian dia bersabar. Walaupun formula ini kelihatan mudah tetapi untuk melakukannya memerlukan kepada mujahadah yang tinggi. Sabar ialah tahan dalam menempuh sesuatu yang sukar. Manakala syukur pula ialah menggunakkan nikmat pada jalan ketaatan dan diredai oleh Allah SWT.

 

Bagaimana cara nak menjemput kasih sayang Allah.

Apabila seseorang mukmin mendapat kasih-sayang dan cinta Allah SWT, maka hidupnya akan tetap bahagia walaupun satu dunia benci kepadanya. Begitu juga sebaliknya jika seseorang mukmin itu mendapat cinta manusia, dikasihi oleh satu dunia sekalipun namun, jika masih dibenci oleh Allah SWT hidupnya tidak akan tenang. Terdapat beberapa cara untuk kita mendapat kasih sayang dan cinta Allah SWT antaranya ialah:


1.       Ambil manfaat dengan al-Quran. Sejauh mana kita berinteraksi dengan al-Quran, maka sejauh itu jugalah al-Quran akan bertindak dalam kehidupan kita. Jika kita tidak mampu untuk khatamkan al-Quran dengan mulut kita, maka khatamkan al-Quran dengan telinga. 

2.       Perhebatkan amalan sunat tanpa mengabaikan amalan wajib.

3.       Terus-menerus ingat kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun sama ada ketika bersendirian atau berada dalam keadaan orang ramai, dalam keadaan sihat atau sakit, dalam keadaan senang atau susah.

4.       Dahulukan cinta Allah daripada cinta manusia.

 

Jadi untuk itu, marilah kita sama – sama berusaha untuk mendapatkan cinta dan kasih sayang Allah SWT agar tergolong dalam golongan mereka yang beruntung di dunia dan akhirat. Usahakan diri kita semampu yang mungkin terutama pada Bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini untuk memperbaiki diri dan jiwa supaya terus berada di landasan yang diredai oleh Allah SWT. Semoga kita semua dikurniakan oleh Allah SWT untuk mendapatkan kasih-sayang dan cintaNya. 






Rujukan : Tazkirah Ustaz Mohd Shazni Abdullah 

TAZKIRAH : DOA-DOA YANG DIMAKBULKAN

 TAZKIRAH : DOA-DOA YANG DIMAKBULKAN


Doa dalam ajaran Islam memiliki kedudukan yang sangat istimewa. Doa bermaksud permohonan seorang hamba kepada Allah SWT agar diperkenankan sesuatu hajat yang diminta atau menolak sesuatu musibah yang mungkin akan menimpa dirinya. Doa hanya boleh dipohon kepada Allah SWT kerana Dia-lah yang Maha Pengampun dan Maha Memperkenankan. Restu dan reda Allah SWT amat diperlukan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ ٦٠

 

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong, takabbur daripada berdoa serta beribadah kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir: 60)

Namun begitu, masih ada dalam kalangan manusia yang masih mensia-siakan nikmat doa yang Allah SWT kurniakan ini. Mereka meremehkan kelebihan berdoa bahkan ada yang enggan berdoa kerana sudah berasa selesa dengan kehidupan yang dimiliki tanpa mengharap kepada Allah SWT. Orang yang enggan berdoa ini digambarkan oleh Allah SWT sebagai orang yang bersifat sombong dan angkuh kerana mereka memikirkan bahawa mereka tidak perlu bergantung kepada Tuhan Yang Maha Esa, malahan mereka lebih meminta dan mengharap kepada sesama makhluk. Alangkah buruknya manusia yang bersikap sedemikian sedangkan seluruh alam ini adalah kepunyaan Allah SWT Yang Maha Pemberi Nikmat kepada hamba-hambaNya.

Sewajarnya sebagai umat Islam kita hendaklah menggunakan kelebihan berdoa dalam kehidupan kita kerana doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doa juga menggambarkan rasa kebergantungan seseorang hamba kepada Tuhannya. Ketahuilah bahawasanya Allah SWT akan memperkenankan doa hambanya dengan pelbagai cara iaitu diperkenankan doa hambaNya dengan diberikan apa-apa sahaja yang dihajatkan ketika di dunia. Ada juga doa yang dipohon oleh hambaNya itu disimpan dan akan diberikan pada akhirat kelak. Terdapat juga doa yang dipohon oleh hambaNya tidak diberikan apa yang dihajatkan akan tetapi diperkenankan dengan cara dilindungi seseorang itu daripada keburukan. Hal ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang muslim yang berdoa dengan doa yang bukan untuk keburukan dan bukan untuk memutuskan ikatan silaturrahim, kecuali Allah akan memberinya tiga kemungkinan; doanya akan segera diperkenankan, atau akan ditunda sampai di akhirat, atau ia akan dijauhkan daripada keburukan yang seumpanya, para sahabat bertanya; jika demikian kita minta yang lebih banyak, lalu baginda bersabda: “Allah memiliki yang lebih banyak.”

 (Hadis Riwayat Imam Ahmad : 11133)

Oleh itu, bagi memastikan doa yang dipohon dimakbulkan oleh Allah SWT, maka agama Islam telah memberikan beberapa panduan untuk seseorang itu berdoa, antaranya ialah ketika berdoa hendaklah sentiasa berada dalam keadaan merendah diri, tenang dan sentiasa dalam keadaan taat kepada Allah SWT. Elakkan berdoa dengan tergesa-gesa dan jangan sekali-kali menyalahkan Allah SWT jika dia belum dimakbulkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Doa seseorang dari kalian akan sentiasa dimakbulkan selama ia tidak tergesa-gesa hingga mengatakan: Aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun belum dimakbulkan untukku.”

(Hadis Riwayat Muslim: 4917)

Selain itu, ketika berdoa kita hendaklah bercakap dengan nada suara yang perlahan dan penuh dengan kekhusyukkan. Elakkan menggunakan suara yang keras seperti memaksa dan janganlah melampaui batas dalam memohon sesuatu hajat. Berdoalah bersungguh-sungguh dengan keikhlasan dan pengharapan serta hindarkan diri melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa, kerana rahmat Allah SWT sangat jauh daripada orang yang melakukan kejahatan. Firman Allah SWT:

 

ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًۭا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ ٥٥ وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا وَٱدْعُوهُ خَوْفًۭا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ  ٥٦

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNYa dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang –orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A'raf ayat 55-56)

Justeru, berdoalah kepada Allah SWT bersungguh-sungguh kerana orang yang berdoa adalah mereka yang memiliki keyakinan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Mendengar permohonan dan memakbulkan permintaan hambaNya dengan syarat hambaNya melaksanakan ketaatan dan sentiasa beriman kepadaNya. 





Rujukan : Jabatan Agama Islam Negeri Johor

TAZKIRAH : BALANG MAYONIS & DUA CAWAN KOPI

 TAZKIRAH : BALANG MAYONIS & DUA CAWAN KOPI

Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan. Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh, dan pelajarnya menjawab "ya!". Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya..."

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut.

Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum melihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang..." profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan. "Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda...

Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda - Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh. Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu anda tidak akan mempunyai ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda."

Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir..."

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum. "Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan..."

Tenang….Nabi kita berpesan,

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :

[1] Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,

[2] Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu,

[3] Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,

[4] Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,

[5] Hidupmu sebelum datang kematianmu.”




Sumber : Blog Cerita Tauladan

TAZKIRAH : KASIH SI KECIL

 TAZKIRAH : KASIH SI KECIL

Seekor anak kucing yang kecil mungil sedang berjalan-jalan di ladang pemiliknya. Ketika dia mendekati kandang kuda, dia mendengar binatang besar itu memanggilnya. “Kamu mesti masih baru di sini, cepat atau lambat kamu akan mengetahui bahawa pemilik ladang ini mencintai saya lebih dari binatang lainnya. Kerana saya mampu mengangkut banyak barang untuknya, saya kira binatang sekecil kamu tidak akan bernilai sama sekali baginya”, ujarnya dengan sinis.

kucing kecil itu menundukkan kepalanya dan pergi. Tapi, dari kandang sebelah, ia mendengar suara seekor lembu. “Saya adalah binatang yang paling terhormat di sini sebab puan di sini membuat keju dan mentega dari susu saya. Kamu tentu tidak berguna bagi keluarga di sini”, dengan nada mencemuh.

Belum lagi kesedihannya hilang, ia mendengar teriakan biri-biri. “Hai lembu, kedudukanmu tidak lebih tinggi dari saya. Aku memberi bulu kepada pemilik ladang ini. Saya memberi kehangatan kepada seluruh keluarga. Tapi kata-katamu soal kucing kecil itu, memang benar. Dia sama sekali tidak ada manfaatnya di sini.”

Satu demi satu binatang di situ ikut serta dalam pencemuhan itu, sambil menceritakan betapa tingginya kedudukan mereka di ladang itu. Ayam pun berkata bagaimana dia telah memberikan telur, Semua binatang sepakat kalau si kucing kecil itu adalah makhluk tak berguna dan tidak sanggup memberikan sumbangan apapun kepada keluarga itu.

Terpukul oleh kecaman binatang-binatang lain, kucing kecil itu pergi ke tempat sepi dan mulai menangis menyesali nasibnya. Sedih rasanya, sudah yatim piatu, dianggap tak berguna, disingkirkan dari pergaulan pula…

Ada seekor kucing tua di situ mendengar tangisan tersebut, lalu mendengar keluh kesah si kucing kecil itu. “Saya tidak dapat memberikan sumbangan kepada keluarga di sini, sayalah haiwan yang paling tidak berguna di sini…”

Terharu, kucing tua berkata, “Memang benar bahwa kamu terlalu kecil untuk menarik pedati. Kamu tidak berupaya memberikan telur, susu ataupun bulu. Tetapi bodoh sekali jika kamu menangisi sesuatu yang tidak mampu kamu lakukan. Kamu harus menggunakan kemampuan yang diberikan oleh Tuhan untuk membawa kegembiraan.”

Malam itu ketika pemilik ladang baru pulang dan kelihatan amat lelah Kerana perjalanan jauh di panas terik matahari, kucing kecil itu lari menghampirinya, menjilat kakinya dan melompat ke pelukannya. Sambil menjatuhkan diri ke tanah, pemilik ladang dan kucing kecil itu berguling-guling di rumput disertai tawa ria.

Akhirnya pemilik ladang itu memeluk dia erat-erat dan mengelus-elus kepalanya, dan berkata, “Meskipun saya pulang dalam keadaan letih, tapi rasanya semua jadi sirna, bila kau menyambutku semesra ini. Kamulah yang paling berharga di antara semua binatang di ladang ini. Kamu kecil, tapi sangat mengerti ertinya kasih…”

ORANG BODOH MENTERTAWAKAN KEKURANGAN ORANG LAIN, NAMUN ORANG YANG BIJAK MENTERTAWAKAN KEKURANGAN DIRINYA SENDIRI.




Sumber : Blog Cerita Tauladan

TAZKIRAH : SI PENEBANG POHON

 TAZKIRAH : SI PENEBANG POHON 


Seorang pedagang kayu menerima lamaran seorang pekerja untuk menebang pohon di hutannya. Kerana gaji yang dijanjikan serta kerja yang bakal diterima sangat baik, sehingga si calon penebang pohon itu pun bertekad untuk bekerja dengan sebaik mungkin. Ketika mula bekerja, si majikan memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang harus diselesaikan dengan tempoh waktu yang telah ditentukan kepada si penebang pohon. Hari pertama bekerja, dia berhasil menebang 8 batang pohon. Kemudian pada petang hari, mendengar hasil kerja si penebang pohon, sang majikan terkesan dan memberikan pujian dengan tulus, “Hasil kerja kamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuanmu menebang pohon-pohon itu. Belum pernah ada yang sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu”.

Sangat termotivasi oleh pujian majikannya, keesokan hari si penebang bekerja lebih keras lagi, tetapi dia hanya berhasil menebang 7 batang pohon. Hari ketiga, dia bekerja lebih keras lagi, tetapi hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin bertambahnya hari, semakin sedikit pohon yang berhasil ditumbangkan.

“Sepertinya aku telah kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat mempertanggungjawabkan hasil kerjaku kepada majikan?” fikir penebang pohon berasa malu dan putus asa. Dengan kepala tertunduk dia menghadap berjumpa sang majikan, meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memadai dan mengeluh tidak mengerti apa yang telah terjadi.

Sang majikan menyemak dan bertanya kepadanya, “bila terakhir kamu mengasah kapak?”

“Mengasah kapak? Saya tidak punya waktu untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pohon dari pagi hingga ke petang dengan sekuat tenaga”. Kata si penebang.

“Patutlah!, disinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru dan terasah, maka kamu boleh menebang pohon dengan hasil luar biasa. Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, hasilnya semakin menurun. Maka, sesibuk macam mana pun, kamu harus meluangkan waktu untuk mengasah kapakmu, agar setiap hari bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum. Sekarang mulalah mengasah kapakmu dan segera kembali bekerja!” kata sang majikan. Sambil mengangguk-anggukan kepala dan mengucap terima kasih, si penebang berlalu dari hadapan majikannya untuk mulai mengasah kapak.

Sama seperti si penebang pohon, kita pun setiap hari, dari pagi hingga ke malam seolah-olah, sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga seringkali melupakan perkara lain yang sama pentingnya, iaitu beristirehat sejenak mengasah dan mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan dan spiritual. Setiap daripada kita pasti mempunyai senarai nilai tambah yang perlu dikecapi. Maka, carilah masa untuk upgrade value pada diri kita supaya kehidupan kita akan menjadi lebih dinamik, berwawasan dan selalu baru !






TAZKIRAH : PAKU DI TIANG

 TAZKIRAH : PAKU DI TIANG 


Beberapa ketika waktu yang lalu, ada seorang lelaki yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai daripada menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat menunaikan solat, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap mengabaikannya.Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya.

Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya. Suatu hari lelaki tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau ni terlalu banyak sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu paku tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan dicabut keluar dari tiang ini."

Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku pada tiang tersebut. Kadang-kadang sehingga berpuluh paku dipukul dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar paku dari tiang tersebut.

Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar, tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat kerana hujan dan panas. Setelah melihat keadaan tiang yang tertusuk dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu. Maka dia pun berazam untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula menunaikan solat. Hari itu sahaja lima butir paku dicabut oleh ayahnya dari tiang. Pada keesokannya, dia menunaikan solat lagi dan ditambah dengan amalan sunatnya. Hal ini menyebabkan lebih banyak lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat meninggalkan sisa-sisa maksiat yang masih melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggalkan sehingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku sahaja yang tinggal melekat di tiang.

Maka ayahnya pun memanggil anaknya dan berkata: "Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?" Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula menangis teresak-esak. "Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada".Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada,tapi aku bersedih parut - parut lubang dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya." 

Oleh itu, ketika mana menyedari bahawa kita telah melakukan suatu kemungkaran, ataupun sedang diambang pintu perbuatan yang buruk, maka berhentilah serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita telah membenamkan sebilah lagi paku yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Begitu juga kalau kita biarkan ianya berkarat lama dalam diri sebelum dicabut (menunda taubat). Dan apatah lagi jika kita terus membiarkan paku tersebut berkarat dan tidak dicabut. Sama-samalah kita muhasabah diri. 






Rujukan: Kisah Tauladan 

TAZKIRAH : KISAH TUKANG KAYU

 TAZKIRAH : KISAH TUKANG KAYU 


Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjaya sebagai seorang tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya, dengan tenaga yang semakin berkurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang. Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Lalu, tukang kayu tersebut memberitahu majikannya tentang hasratnya untuk berhenti kerja tersebut.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Akhirnya, rumah tersebut berjaya disiapkan dalam jangka masa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut lalu memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi. Begitulah kejadian yang sentiasa berlaku pada hari ini, apabila hendak bersara atau berhenti kerja kerana mendapat tempat pekerjaan yang baru, janganlah kita melakukan tugasan dengan sambil lewa dan tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap tugasan terakhir tersebut. Hal ini kerana pada akhirnya tugasan yang kita lakukan dengan ikhlas tersebut pasti akan membawa manfaat kepada kita walaupun kita sudah tidak lagi melakukan tugasan yang sama di tempat sama.

  

 


TAZKIRAH : JALAN MEMPEROLEH REZEKI YANG BERKAT

 TAZKIRAH : JALAN MEMPEROLEH REZEKI YANG BERKAT


Agama Islam mengajar umatnya agar menjadi manusia yang sentiasa berusaha mencari rezeki yang dikurniakan dengan daya usaha sendiri dan menegah mereka daripada menjadi umat yang malas bekerja, menganggur serta suka bergantung hidup kepada pemberian dan bantuan orang lain. Perkara ini ditegaskan dalam firman Allah SWT :

 

قُلۡ إِنَّ رَبِّی یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَیَقۡدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا یَعۡلَمُونَ ﴿ ٣٦ ﴾

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhamamd): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendaki); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”

(Surah Saba’: 36)

 

Sesungguhnya dalam soal pencarian rezeki ini, seseorang mukmin perlu meletakkan kesungguhan di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan semata-mata untuk mendapat kesenangan hidup di dunia, akan tetapi hendaklah meletakkan keutamaan untuk memperoleh rezeki yang berkat. Rezeki yang berkat ini ialah rezeki yang halal yang dapat memberi manfaat kepada diri dan orang lain serta mendapat keredaan Allah SWT. Kepentingan mencari rezeki yang berkat ini ialah kerana rezeki yang berkat akan mendatangkan kebaikan dan manfaat di akhirat kelak. Antara cara untuk memperoleh rezeki yang berkat ialah seseorang itu hendaklah memiliki keimanan dan ketaqwaan di dalam dirinya. Hal ini demikian kerana orang-orang yang bertakwa ini, Allah SWT menjanjikan kepada mereka limpahan rezeki dan akan mengurniakan kepada mereka jalan keluar daripada segala kesusahan. Firman Allah SWT :

 

   ﴿٣  وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ﴿٢  وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ  ... 



Maksudnya: “… dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah SWT (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan  mengadakan bagiNya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkanNya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkanNya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Talaq: 2-3)

 

Rezeki yang berkat juga dapat diperolehi dengan menunaikan hak-hak dalam harta yang kita miliki. Sebagai orang yang beriman kita perlu sedar bahawa harta yang kita peroleh bukan semuanya hak milik kita secara mutlak, sebaliknya sebahagiannya adalah merupakan hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Kita hendaklah memanfaatkan rezeki yang dimiliki untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan dan kesukaran seperti menunaikan kewajipan berzakat, bersedekah, berwakaf dan sebagainya. Hal ini demikian kerana antara sebab pengurniaan rezeki Allah SWT kepada hambaNya ialah apabila adanya doa orang lain kepada kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


 “Tidaklah kalian ditolong dan diberi rezeki melainkan kerana adanya doa orang-orang yang lemah di antara kalian.

(Hadis Riwayat al-Bukhari: 2896)

Rezeki yang berkat juga dapat diperoleh apabila kita sentiasa menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia. Mereka yang memelihara hubungan silaturrahim ini akan mudah mendapat kerjasama daripada orang lain dan orang sekeliling mereka akan berasa selesa dan gembira apabila berurusan dengannya. Akan tetapi, sebaliknya sekiranya hubungan silaturrahim ini hilang maka akan timbul perasaan hasad dengki, khianat, zalim dan sebagainya yang boleh merosakkan sumber pencarian rezeki seseorang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Barang siapa ingin dibentangkan pintu rezeki untuknya dan dipanjangkan umurnya hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”

(Hadis Riwayat Sunan Abu Daud: 1443)

 

Selain itu, untuk memperoleh rezeki yang berkat ini, seseorang itu hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Hal ini demikian kerana dosa itu bukan sahaja membuat hati manusia menjadi hitam dan kotor akan tetapi juga akan menutup pintu rezeki seseorang. Oleh itu, apabila seseorang yang melakukan dosa maka hendaklah dia membanyakkan istighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Selain itu, rezeki yang berkah ini ialah apabila kita dapat membelanjakan rezeki yang dikurniakan secara sederhana tanpa terpengaruh dengan hawa nafsu. Amalan bersederhana ini akan menimbulkan sifat qanaah iaitu berasa cukup dan menerima dengan reda apa-apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sifat qanaah ini sangat penting kerana akan mengelakkan diri seseorang daripada sifat tamak, mementingkan diri, membazir dan sebagainya.

Justeru, ingatlah bahawa rezeki yang kita miliki ini adalah milik Allah SWT dan hanya Allah SWT sahaja yang berhak mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai kita mencuaikan perintah Allah SWT dan melanggar laranganNya. Marilah sama-sama berusaha mencari rezeki yang berkat di dunia ini kerana rezeki yang diperoleh tanpa keberkatan akan merosakkan diri kita dan akan membawa kebinasaan di akhirat kelak.

 

 

 Rujukan : Jabatan Agama Islam Negeri Johor